AMSA-UPM Diabetes Day 2026: Shaping Tomorrow’s Health Today

17 Mei 2026, National Cancer Society Malaysia (NCSM) telah menyertai AMSA-UPM Diabetes Day 2026: Shaping Tomorrow’s Health Today yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia. Program anjuran Asian Medical Students’ Association Universiti Putra Malaysia (AMSA-UPM) ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 1,500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai rakan kolaborasi kesihatan, NCSM telah mengendalikan reruai kesedaran kanser yang menyediakan pendidikan kesihatan, konsultasi serta bahan-bahan pendidikan kepada para pengunjung. Antara fokus utama perkongsian adalah mengenai faktor risiko kanser, kepentingan pengesanan awal, langkah-langkah pencegahan serta hubungan antara penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dengan risiko kesihatan yang lain.

Program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk saringan kesihatan, pameran pendidikan kesihatan, sesi perkongsian ilmu, konsultasi kesihatan dan aktiviti interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh. Melalui pendekatan yang mesra komuniti, para peserta berpeluang mendapatkan maklumat yang tepat dan praktikal berkaitan amalan gaya hidup sihat serta kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Objektif utama program adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit, khususnya diabetes dan kanser. Di samping itu, program ini bertujuan memperkasakan individu dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat pilihan gaya hidup yang lebih sihat serta mengurangkan risiko penyakit kronik.

Kumpulan sasaran program terdiri daripada masyarakat umum, termasuk pelajar, golongan dewasa, warga emas serta individu yang berisiko mendapat penyakit tidak berjangkit. Penyertaan aktif para pengunjung di reruai NCSM menunjukkan minat dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan pendidikan kesihatan dan pengesanan awal kanser dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.