
Pada 22 September 2026, National Cancer Society Malaysia (NCSM) telah menyertai Etiqa Sustainability Day yang berlangsung di Dataran Maybank, Tower C. Sebagai sebahagian daripada program tersebut, NCSM telah mengendalikan reruai pendidikan kesihatan yang memberi fokus kepada kesedaran mengenai kanser payudara dan langkah-langkah pencegahan awal.
Melalui reruai ini, warga kerja Maybank dan Etiqa diberikan penerangan mengenai faktor risiko kanser payudara, tanda dan gejala yang perlu diberi perhatian serta kepentingan pengesanan awal. Maklumat berkaitan penjagaan kesihatan payudara dan langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian turut dikongsikan kepada para pengunjung.
Selain itu, NCSM turut berkongsi maklumat mengenai Program Mamogram Percuma Etiqa, termasuk kepentingannya dalam menyokong pengesanan awal kanser payudara. Para peserta juga diperkenalkan kepada kerjasama antara Etiqa dan NCSM dalam memperluas akses kepada pendidikan kesihatan dan perkhidmatan saringan kepada golongan yang memerlukan.
Penyertaan NCSM dalam Etiqa Sustainability Day memberi peluang untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja mengenai kepentingan menjaga kesihatan payudara, menjalani saringan yang bersesuaian serta mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya terdapat sebarang perubahan yang mencurigakan. Program ini turut menyokong usaha berterusan dalam mempromosikan pengesanan awal dan pencegahan kanser melalui pendidikan kesihatan yang mudah difahami dan boleh diamalkan.