Sunway Student Volunteers (SSV) Health Week 2026

16 Julai 2026, National Cancer Society Malaysia (NCSM) telah menyertai SSV Health Week 2026 (SEA: See the Symptoms, Evaluate the Science, Act for the Cure) yang berlangsung di Art Gallery, Aras 1, Sunway University. Program anjuran Sunway Student Volunteers (SSV) ini bertujuan memupuk kesedaran kesihatan serta menggalakkan amalan pencegahan penyakit dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti.

Sebagai rakan kolaborasi kesihatan, NCSM telah membuka booth kesedaran kanser yang menyediakan pendidikan kesihatan, bahan pendidikan dan konsultasi ringkas kepada pengunjung. NCSM turut menyampaikan ceramah kesedaran kanser yang memberi pendedahan mengenai faktor risiko kanser, kepentingan pengesanan awal dan saringan kanser, di samping berkongsi statistik terkini kanser di Malaysia. Sesi ini turut menekankan bahaya penggunaan rokok dan vape sebagai antara faktor risiko utama pelbagai jenis kanser, khususnya kanser paru-paru, serta menggalakkan peserta mengamalkan gaya hidup sihat dan mendapatkan saringan kesihatan mengikut tahap risiko masing-masing.

Program ini berjaya memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan Sunway University yang mengunjungi booth serta menghadiri sesi ceramah NCSM. Melalui pendekatan interaktif dan perkongsian berasaskan bukti, peserta memperoleh pengetahuan yang lebih baik mengenai pencegahan kanser, kepentingan pengesanan awal serta langkah-langkah mengurangkan risiko kanser melalui amalan gaya hidup sihat.

Penyertaan NCSM dalam SSV Health Week 2026 mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan kesihatan, meningkatkan literasi kanser serta menggalakkan budaya pengesanan awal dalam kalangan generasi muda dan warga institusi pengajian tinggi.