
Pada 20 Jun 2026, National Cancer Society Malaysia (NCSM) telah menyertai Program Cik Era Naik MRT, sebuah inisiatif promosi kesihatan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memanfaatkan pengangkutan awam sebagai platform untuk menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat. Program ini berlangsung dari Stesen MRT Putrajaya Sentral hingga Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) yang juga telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.

Program ini mengetengahkan Cik Era AI, rakan maya berasaskan kecerdasan buatan yang dibangunkan bagi menyediakan maklumat, motivasi dan panduan digital kepada individu yang ingin berhenti merokok atau vape. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan promosi kesihatan digital dan menyokong agenda transformasi perkhidmatan kesihatan negara. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh KKM, Cik Era AI telah membantu ribuan pengguna mendapatkan maklumat dan sokongan berkaitan perkhidmatan berhenti merokok sejak dilancarkan.
Objektif utama program adalah untuk memperluaskan capaian mesej kesihatan kepada masyarakat melalui platform yang inovatif dan mudah diakses. Dengan membawa promosi kesihatan ke ruang awam yang strategik, program ini berjaya mendekatkan maklumat kesihatan kepada masyarakat serta menggalakkan tindakan proaktif dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
Melalui kerjasama seperti ini, NCSM terus komited menyokong inisiatif kesihatan awam yang memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk membuat pilihan kesihatan yang lebih baik.